Berkasih Sayanglah Sesama Manusia
Simpatilah dengan anak-anak yatim terutama yang susah
Hiburkan mereka dengan kemesraan, bantuan dan kasih sayang
Agar hatinya yang terluka kehilangan ayah dapat diubat
Dengan adanya orang yang memberi kasih sayangnya
Fakir miskin yang serba susah dan payah
Simpati jugalah kepada mereka
Hulurlah bantuan berilah kemesraan jangan ditinggalkan
Mereka juga manusia inginkan perhatian
Orang-orang yang mendapat kemalangan yang berbagai-bagai keadaan
Termasuk manusia yang inginkan simpati orang ramai
Tunjukkan simpati kepada mereka
Bantulah mereka hiburkan mereka agar hati gembira
Ingatlah nasib-nasib mereka tidak mustahil akan menimpa kita
Bila-bila masa kita juga mungkin senasib dengan mereka
Tuhan boleh lakukan apa sahaja kepada kita
Kerana itulah kesusahan orang jangan dibiarkan tanpa bantuan
Tuhan sangat kasih orang yang menghubung kasih dengan orang
Hubungilah kasih terutama dengan orang yang malang
Oleh itu hubungilah kasih dengan orang
Tuhan akan kasih dan sayang dengan orang yang penyayang
Bersatu Adalah Ikatan Jiwa
Bagaimanalah bangsa boleh bersatu
Masing-masing puak ada haluan tersendiri
Walaupun setiap golongan mengajak umat bersatu
Tapi perjuangan masing-masing ada agenda tersendiri
Orang politik ada matlamat yang dituju
Persatuan buruh memperjuangkan agendanya pula
Artis-artis memikirkan nasib mereka pula
Guru-guru pula memikirkan kenaikan gaji dan kehidupan mereka
Ulama juga tidak bersatu mereka ada yang punya
Sasterawan memikir bahasa sahaja
Petani-petani berjuang caranya pula
Nelayan-nelayan pula, memikirkan nasib mereka yang tidak terbela
Begitulah setiap puak memikirkan diri mereka sahaja
Tapi mereka di dalam masa yang sama ajak bangsa bersatu padu
Yang di mulut lain tindakan lain
Bagaimanalah bangsa boleh bersatu secara realiti
Bersatu adalah ikatan jiwa
Fikiran selaras, Tuhan sama-sama dicintai
Jiwa yang sama-sama cintakan Tuhan
Perpaduan akan terjadi dengan sendiri
Bertimbang Rasalah Sesama Makhluk Tuhan
Engkau ingin disayangi tapi engkau tidak pernah menyayangi makhluk Tuhan
Engkau ingin diambil perhatian tapi engkau tidak pernah
mengambil perhatian kepada manusia
Engkau suka dibantu ketika engkau mendapat kesusahan
Tapi kesusahan orang engkau tidak pernah mempedulikan
Engkau ingin simpati orang terutama di masa diperlukan
Tapi simpati tidak ada di dalam kamus hidup engkau
Engkau ingin menagih penghormatan dari orang
Tapi engkau tidak pernah menghormati orang
Engkau hanya mementingkan diri sendiri
Perasaan engkau sahaja yang engkau fikirkan
Tapi perasaan orang lain engkau tidak pedulikan
Ingatlah perasaan manusia sama sahaja
Apa yang kita rasa susah itulah juga yang dirasa manusia
Apa yang disenangi kita itulah juga disenangi orang lain
Kerana itulah kita kenalah bertimbangrasa
Di dalam memikirkan diri kenalah juga memikirkan diri orang
Barulah kita boleh hidup berkasih sayang dan bekerjasama

No comments:
Post a Comment