Monday, 14 December 2015

Aku Sedih Kerana Tidak Dapat Membela


Tuhan! Aku rasa sedih ramai orang di waktu ini sudah tidak beragama
Tapi aku tidak dapat menyedarkan
Dan tidak mampu menginsafkannya

Aku susah hati ramai orang yang kelaparan
Tidak ada apa yang hendak dimakan
Aku tidak dapat memberi mereka makan

Tuhan! Jiwaku sedih banyak orang terlantar kesakitan
Namun aku tidak dapat merawat dan membantunya
Jiwaku menderita ramai orang tidak berpakaian
Kerana aku tidak mampu memberi mereka pakaian

Tuhan! Jiwaku terseksa ramai orang yang terzalim
Sedangkan aku tidak dapat membelanya
Ramai orang yang menzalim, aku tidak dapat menahannya

Tuhan! Berapa ramai anak-anak yatim,
Fakir miskin dan janda-janda yang terbiar,

Di dalam semua hal
Aku tidak dapat membelanya dan mengurusnya

Mereka setiap masa menunggu pembelaan
Namun demikian tidak kunjung tiba

Berapa ramai orang-orang tua yang terbuang
Keluarga mereka pun sudah tidak mempedulikan mereka

Aku tidak tahu bagaimana hendak membelanya
Kerana aku juga tidak ada tenaga dan kuasa

Tuhan! Itulah di antara yang aku rintihkan
Masalah inilah yang selalu aku renung dan menungkan
Tapi aku sendiri pun tidak dapat mengadakan jalan penyelesaian

Adakalanya aku menangis bersendirian
Terutama menjelang tidur di waktu malam
Kerana aku tidak dapat menjadi pembela kepada mereka semuanya

Aduh! Sedihnya aku. Aduh! hibanya hatiku
Tuhan! Apa yang berlaku pada mereka janganlah aku dipersalahkan
Lebih-lebih lagi jangan Engkau bertindak terhadap aku kerana terbiarnya mereka

Aku memohon maaf dan ampun kerana tidak dapat membela mereka
Berilah aku kekuatan agar aku dapat menjadi pembela
Ataupun Engkau datangkanlah pembela agar masalah mereka selesai




MESEJ UNTUK UMNO : KURANGKAN SYARAHAN 
BERAPI DAN LIHATLAH FAKTA MELAYU


Salam hormat saya tujukan kepada UMNO, sebuah parti yang telah berkhidmat untuk bangsa dan negara selama 69 tahun lamanya sejak tahun 1946 dan sedang bersidang lima hari di PWTC.

Di sebalik senyum, gelak ketawa, pujian dan syarahan berapi-api perwakilan, saya berharap parti ini lihat keluh kesah ekonomi Melayu sekarang.

Kos sara hidup melonjak. Pertumbuhan gaji yang perlahan. Pengangguran naik. Nilai ringgit jatuh. Harga komoditi jatuh. Saiz hutang meningkat.

Jurang kaya-miskin bertambah. Pemilikan saham dan hartanah Melayu masih menyedihkan.

Beberapa data yang pilu dan sayu untuk renungan UMNO :

1. Ekonomi Malaysia tumbuh sederhana antara 4 hingga 5 peratus setahun berbanding pertumbuhan mantap melebihi 7 peratus selama lebih daripada 53 tahun dari tahun 1945 hingga 1998.

2. Duit ringgit sudah jatuh 25 peratus dalam masa setahun kepada USDMYR 4.25 berbanding purata USDMYR 2.5 dari tahun 1970 ke 1998. Jurang ekonomi kaya-miskin semakin melebar dengan 20% orang terkaya di Malaysia menguasai 90% daripada kekayaan negara.

3. Hutang Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM582 bilion atau 54.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding RM90 billion pada tahun 1998 dan RM2 billion pada tahun 1970. Hutang terkini isi rumah Malaysia adalah 88% dari KDNK atau RM940 bilion, antara yang tertinggi di rantau ini, berbanding hanya 16% atau RM70 bilion pada tahun 1998.

4. Walaupun kadar pengangguran masih terkawal, jumlah pengangguran meningkat 20 peratus dalam setahun. Jabatan Perangkaan anggar seramai 460,000 orang tidak mempunyai pekerjaan. Dari angka ini, 161,000 lulusan universiti umur di antara 20 dan 24 tahun tak ada kerja. 70% daripada semua graduan menganggur pada tahun 2010 adalah Melayu Bumiputera. Sekitar 10,000 belia yang diisytiharkan muflis pada tahun 2012 adalah orang Melayu.

5. Pendapatan purata isi rumah Melayu dan Bumiputera adalah sekitar RM4400 bermakna 30% lebih rendah berbanding purata pendapatan isi rumah Cina dan 15% lebih rendah dari purata isi rumah India dalam tempoh yang sama. 25% dari isi rumah Bumiputera mendapat di bawah kira-kira RM2,000 sebulan. Kebanyakan Melayu dan Bumiputra bekerja di sektor kerajaan dan hanya 8% Bumiputra menguasai jawatan pengurusan di sektor swasta.

6. Nilai Bursa Malaysia telah berganda sejak tahun 2008 dan 90% daripada semua perusahaan mikro Malaysia adalah syarikat milik Bumiputera, tetapi yang peliknya kurang 10% daripada syarikat-syarikat senarai besar di Malaysia di miliki Bumiputra.

7. Walaupun berjumlah 68% dari penduduk dan politik Malaysia dikuasai Melayu, Bumiputera hanya memiliki 25% daripada jumlah nilai hartanah di Malaysia dan 22% daripada jumlah ekuiti di Malaysia.

Saya terpanggil dengan rintihan ini kerana ekonomi Malaysia dan Melayu khususnya sedang menempuh satu keadaan yang sangat mencabar sekarang, menuntut perubahan aggresif dari parti ini.

Di harap parti UMNO memperjuangkan semua bangsa Melayu dan bukan hanya 10% Melayu terkaya di Malaysia.

Dr Nazri Khan
Fellow
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia

No comments:

Post a Comment